18 Nov 2017 (28 Safar 1439 H) || Nisab Semasa : RM14,726.35

"Negeri Sembilan Negeri Beradat, Negeri Sembilan Negeri Berzakat"


18 Nov 2017 (29 Safar 1439 H) || Nisab Semasa : RM14,726.35


search

Soalan-soalan Yang Sering Dikemukakan:

1- Seorang pegawai yang menyimpan sebahagian dari gaji bulanannya, maka bagaimanakah dia akan mengeluarkan zakat hartanya sedangkan dia mengetahui bahawa sebahagian gaji yang disimpan itu belum sampai haulnya?

Jawapan:

Sesiapa yang memiliki harta yang telah cukup nisab semenjak dari awal haul, lalu hartanya itu berkembang subur dengan keuntungan atau selainnya seperti harta pusaka, pemberian, gaji atau elaun, maka kesemua harta itu hendaklah dikumpulkan kesemuanya ke dalam harta yang telah sampai nisab dan dizakatkan kesemuanya ketika cukup haul walaupun terdapat dari kalangan harta tersebut yang tidak sempurna haulnya.

 

2- Adakah diwajibkan zakat pada perhiasan perempuan?

Jawapan:

Zakat tidak diwajibkan terhadap perhiasan perempuan yang digunakan. Ini sekiranya tidak melebihi dari kegunaan biasa pada pandangan masyarakat, sekiranya melebihi dari 'pandangan biasa', maka ianya dikenakan zakat kerana telah termasuk ke dalam harta yang disimpan. Demikian juga dikenakan zakat ke atas harta yang tidak digunakan lagi kerana bentuk lama atau sebagainya. Dikenakan zakat terhadap perhiasan emas dan perak adalah berdasarkan timbangan emas dan perak tulin dan bukannya berdasarkan kepada harga. Tidak juga kerana pertambahannya dengan sebab ianya dicelup (emas salut) atau emas buat dan tidak juga dikira dengan harga disebabkan bentuk batu permata atau tambahan bahan lain terhadapnya.

 

3- Bagaimanakah cara mengeluarkan zakat perhiasan apabila telah cukup syaratnya?

Jawapan:

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa zakat yang diwajibkan ke atas harta perhiasan adalah dengan timbangan emas tulin iaitu emas dalam bentuk ketulan (999) karat (24), adapun emas yang tidak tulin hendaklah ditolak harga yang tidak asli yang bercampur dengannya dan hendaklah dibuang, kadar zakat yang dikenakan adalah seperti berikut:

Berat emas didarat dengan jenis karat didarat dengan harga 1 gram dan didarat dengan 2.5 %.

* Peringatan:

Apa yang dimaksudkan dengan harga 1 gram ialah harga pasaran emas di hari zakat dikeluarkan.

 

4- Bagaimanakah cara mengeluarkan zakat perniagaan?

Jawapan:

Apabila tiba waktu mengeluarkan zakat, peniaga muslim atau syarikat hendaklah mengumpulkan kesemua harta perniagaannya sama ada duit, barangan atau hutang yang dijangka dapat dibayar lalu ditolak dengan hutang yang mesti dibayar kepada orang lain, kadar sebanyak 2.5 % dari jumlah tersebut hendaklah dikeluarkan sebagai zakat. Secara ringkasnya boleh kita garapkan sebagaimana berikut:

Jumlah zakat = Jumlah harta yang terkumpul + Simpanan di dalam Bank + Hutang yang dijangka akan dibayar - Jumlah hutang orang yang perlu dibayar x dengan 2.5 %.

 

5- Adakah harus bagi seseorang peniaga mengeluarkan zakat dengan menggunakan zat barang perniagaan atau dengan mata wang?

Jawapan:

Pada asalnya zakat perniagaan hendaklah dikeluarkan dalam bentuk mata wang berdasarkan harga barangan pada hari zakat dikeluarkan dan bukannya dalam bentuk barangan. Ini adalah berdasarkan riwayat Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a bahawa Rasulullah s.a.w berkata kepada al-Hammas:"Keluarkanlah zakat hartamu. Hammas menjawab: Aku hanya memiliki beberapa guni kulit. Baginda menjawab: Kirakan nilainya kemudian keluarkanlah zakat (dari barangan tersebut)". Zakat juga harus dikeluarkan dalam bentuk barangan (mata benda) sebagai memudahkan orang ramai.

 

6- Kadang-kadang perniagaan (jual dan beli) di jalankan dalam bentuk tunai dan kadangkala pula ia berbentuk hutang. Bagaimanakah peniaga bermuamalah terhadap hutang-hutang perniagaan?

Jawapan:

Pertama: Peniaga yang berhutang:

Dalam hal ini terdapat dua jenis:

i- Hutang yang dijangka dapat dibayar:

Iaitu dapat dibayar oleh orang yang berhutang atau di bayar oleh orang yang tidak mahu membayar hutangnya (enggan sedangkan dia mampu) setelah dilakukan sumpah untuk dakwaan mahkamah. Yang penting seseorang itu mengetahui dengan baik akan hutangnya itu dapat dibayar, maka ketika ini sama ada seorang peniaga atau syarikat perniagaan hendaklah mengeluarkan zakat hutang bersama zakatnya setiap tahun.

ii- Hutang yang dijangka tidak dapat dibayar:

Sama ada si piutang tidak dapat melangsaikan hutangnya atau si piutang menafikan berhutang manakala peniaga tidak mempunyai dalil untuk menolaknya atau hutang yang sememangnya tidak mampu dibayar atau menangguh-nangguh dan melambat-lambatkan pembayarannya, di mana hutang ini dinamai hutang yang disyaki tidak dapat dibayar, maka peniaga atau syarikat perniagaan tidak perlu mengeluarkan zakat terhadap hutang-hutang tersebut kecuali setelah ianya di bayar. Setelah zakat itu dibayar, maka peniaga hendaklah mengeluarkan zakat hutang tersebut dengan kiraan satu tahun sahaja walaupun hartanya itu berada dengan orang yang berhutang bertahun-tahun lamanya.

Kedua: Peniaga berhutang dengan orang lain.

Peniaga perseorangan atau syarikat-syarikat perniagaan hendaklah memotong segala hutang-hutangnya yang berada dengan orang lain dari barang-barang yang dikenakan zakat.

7- Apakah hukum saham pada pandangan Islam?

Jawapan:

Untuk menghukum halal atau haram saham adalah berkaitan dengan kegiatan syarikat saham tersebut. Apabila syarikat menjalankan kegiatan haram seperti riba atau jalan-jalan lain yang telah diharamkan oleh Islam maka hukum saham itu adalah haram.

 

8- Bagaimanakah cara yang betul mengeluarkan zakat saham?

Jawapan:

Sekiranya pelabur ingin menjual semula (membeli dan menjual saham), maka zakat yang diwajibkan adalah 2.5 % berdasarkan harga semasa di hari zakat ingin dikeluarkan seperti kemoditi perniagaan.

Sekiranya pelabur hanya mengambil manfaat tahunan sahaja dari sahamnya maka pengiraan zakatnya adalah sebagaimana berikut:

1- Apabila dia dapat mengetahui melalui iklan syarikat atau cara lain yang dikeluarkan oleh syarikat kadar yang telah dikhaskan terhadap setiap saham dari barang-barang yang dikenakan zakat bagi syarikat, maka dia hendaklah mengeluarkan zakatnya mengikut kadar tersebut dengan kiraan 2.5 %.

2- Jika sekiranya dia tidak mengetahui, maka dia hendaklah mencampurkan kemasukan dari sahamnya itu ke dalam semua hartanya yang lain dan mengeluarkan zakatnya dengan kiraan 2.5 % setelah mencukupi haul dan nisab dan terlepaslah tanggungannya.