22 Aug 2017 (31 Zulkaedah 1438 H) || Nisab Semasa : RM13,765.27

"Negeri Sembilan Negeri Beradat, Negeri Sembilan Negeri Berzakat"


22 Aug 2017 (31 Zulkaedah 1438 H) || Nisab Semasa : RM13,765.27


search

Zakat diertikan sebagai "tumbuh dan bertambah". Ianya juga bererti bersih, berkat, suci dan subur.

Zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima. Ianya telah difardhukan mulai tahun yang kedua Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.

Proses mengeluarkan zakat adalah merupakan asas kesempurnaan dan ketaqwaan kita di dalam menegakkan tunggak agama Islam yang maha suci. Ini kerana dengan mengeluarkan zakat, kita telah melaksanakan salah satu dari rukun Islam yang lima.

Ini dapat direnungi dari sebuah hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang bermaksud "Ini adalah ketentuan sedekah yang telah difardhukan oleh Allah SWT ke atas orang muslim".

Dengan berzakat akan diberi ganjaran 700 kali ganda untuk mereka nikmati semata-mata untuk menjamin kebahagiaan mereka di akhirat. Oleh itu zakat merupakan simpanan faedah di akhirat sebanyak 700%. Kenyataan ini dapat dibuktikan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 :-

"Bandingan (zakat / derma / sedekah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan 7 tangkai, tiap-tiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan (ingatilah) Allah maha melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah maha luas (rahmat) kurniaNya...."

Membayar zakat merupakan satu kewajipan yang mesti dilakukan oleh setiap individu muslim yang telah cukup syarat-syaratnya. Di dalam Al-Quran, Allah telah menjanjikan balasan-balasan yang baik bagi orang yang mengeluarkan zakat. Sebaliknya bagi yang engkar dan sengaja meremehkan, Allah telah memberi amaran dan menjanjikan azab keseksaan.

Di dalam surah Al-Imran ayat 180 :

"Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka dari kemurahanNya menyangka bahawa sikap bakhil itu baik bagi mereka sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan menjadi bahan seksaan mereka dengan dikalungkan dan dibelitkan lehernya di hari kiamat kelak ...."

Allah mewajibkan kepada kita bukanlah kerana Allah berhajat kepada harta kita, kerana seluruh alam ini adalah milikNya. Zakat merupakan ujian Allah melihat sejauhmana ketaatan hambaNya yang telah dikurniakan dengan seribu nikmat yang melimpah ruah. Semoga amalan kita di terima Allah dan beroleh keberkatan ke atas usaha serta harta kita.

 

ZAKAT DAN DALIL

Mengikut istilah, zakat ialah kadar harta yang tertentu diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat tertentu.

 

HUKUM MENGELUARKAN ZAKAT

Mengeluarkan zakat adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam yang cukup syarat-syarat mengeluarkannya kerana ia adalah salah satu dari rukun Islam yang lima.

 

JENIS ZAKAT

Zakat terbahagi kepada dua jenis iaitu :-

1. Zakat Badaniah iaitu Zakat Badan atau Fitrah

2. Zakat Maliah atau Zakat Harta

 

DALIL

"Ambillah zakat dari harta mereka yang berada bagi membersihkan diri dan harta mereka dan doakan mereka setelah menerimanya" - Al-Taubah : Ayat 103

"Dirikan sembahyang dan tunaikan zakat" - Al-Nisa : Ayat 7

"Wahai orang-orang yang beriman keluarkanlah (zakat/sedekah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu" - Al-Baqarah : Ayat 267

"Ambillah sebahagian dari harta mereka sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang keji)" - At-Taubah : Ayat 103

"Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar (tanamannya) dan yang tidak menjalar dan pohon-pohon tamar dan tanaman-tanaman yang berlainan dan tidak bersamaan (rasanya) makanlah dari buahnya ketika ia berbuah dan keluarkan haknya (zakatnya) pada hari memetik dan menuai". - Al-Anam : Ayat 141

 

SYARAT WAJIB ZAKAT

  1. Islam.
  2. Merdeka.
  3. Sempurna Milik.
  4. Cukup Haul (Tempoh 1 tahun).
  5. Cukup Nisab

 

MENGAPA BERZAKAT

  1. Menunaikan rukun Islam dan tanda kekuatan Iman.
  2. Mensucikan diri dari dosa.
  3. Membersihkan jiwa dan harta dengan menyatakan kesyukuran.
  4. Tanda kasih antara umat Islam.
  5. Allah memelihara keselamatan harta yang telah dikeluarkan zakatnya.

 

GOLONGAN BERHAK TERIMA ZAKAT

  1. Orang-orang Fakir .
  2. Orang-orang Miskin .
  3. Amil-Amil.
  4. Orang yang dijinakkan hati mereka iaitu yang dikenali sebagai "Muallaf" atau "Saudara Baru".
  5. Untuk memerdekakan hamba.
  6. Orang-orang yang berhutang.
  7. Berjihad ke jalan Allah.
  8. Orang-orang Musafir yang terputus perbelanjaan.