18 Nov 2017 (28 Safar 1439 H) || Nisab Semasa : RM14,726.35

"Negeri Sembilan Negeri Beradat, Negeri Sembilan Negeri Berzakat"


18 Nov 2017 (29 Safar 1439 H) || Nisab Semasa : RM14,726.35


search

PENGERTIAN

Fidyah bermaksud denda yang dikenakan kepada orang Islam yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan atas sebab-sebab tertentu atau kerana sengaja melewatkan qadha puasa bulan Ramadhan yang ditinggalkan sehingga masuk Ramadhan tahun berikutnya.

 

Hukum

Wajib disempurnakan mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan seperti firman Allah swt yang bermaksud :

"Puasa yang diwajibkan itu adalah beberapa hari yang tertentu), maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, bolehla ia berbuka. Kemudian wajiblah ia berpuasa (yakni menggantikan sebanyak hari yang dibuka) pada hari-hari lain dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa(kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa dengan sukarela memberikan(bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah, kalau kamu mengetahui".  (Surah al-baqarah : 184)

Ibnu Abbas ra telah meriwayatkan mengenai orang yang sangat tua yang diwajibkan membayar fidyah.

Maksudnya : "Orang yang sangat tua dikalangan lelaki atau perempuan yang keduanya tidak mampu berpuasa, hendaklah memberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan puasa sebagai ganti".  (Hadis riwayat al-Bukhari)

 

GOLONGAN YANG DIKENAKAN FIDYAH

BAYAR FIDYAH SAHAJA  KADAR FIDYAH 
1. Orang yang uzur sama ada orang tua yang tidak mampu berpuasa atau orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh satu cupak X hari yang ditinggalkan puasa
2. Orang yang telah meninggal dunia(hendaklah disempurnakan oleh waris si mati) satu cupak X hari yang ditinggalkan puasa

 

 BAYAR FIDYAH DAN QADHA PUASA  KADAR FIDYAH
 1. Perempuan mengandung yang dikhuatiri berlaku bahaya kepada anak yang dikandungnya  satu cupak X hari yang ditinggalkan puasa dan menggantikan bilangan hari puasa yang ditinggalkan
 2. Perempuan yang menyusukan anak kerana dikhuatiri berlaku kekeringan air susu   satu cupak X hari yang ditinggalkan puasa dan menggantikan bilangan hari puasa yang ditinggalkan
3. Melambatkan qadha puasa sehingga telah melangkah ke bulan Ramadhan tahun berikutnya  satu cupak X hari yang ditinggalkan puasa(jumlah bayaran fidyah akan berganda mengikut tahun yang ditinggalkan) dan menggantikan bilangan hari puasa yang ditinggalkan

 

KADAR BAYARAN FIDYAH

Kadar bayaran fidyah adalah berdasarkan harga secupak makanan asasi penduduk setempat. Kadar tersebut berubah bergantung kepada kadar harga fitrah yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan setiap tahun.

Kadar Bayaran Zakat Fitrah Negeri Sembilan adalah sebanyak 1 gantang bersamaan 2.751kg. Oleh yang demikian, kadar fidyah adalah bersamaan ¼ gantang iaitu sebanyak 688 gram.

Kadar fidyah yang diguna pakai oleh Pusat Zakat Negeri Sembilan ialah sebanyak ¼ daripada harga fitrah yang telah diwartakan.

Contoh kiraan :

 Kaedah Timbangan  Sukatan Timbangan
 1 Gantang  2.751kg
 1/4 Gantang (1 Cupak)  688g

Kiraan Fidyah :

Seseorang itu meninggalkan puasa sebanyak 5 hari pada bulan Ramadhan 1430H, namun dia melambat-lambatkan qadhanya sehingga datang bulan Ramadhan 1431H, maka wajib baginya membayar fidyah di samping mengqadha puasanya yang tertinggal. Untuk mengetahui jumlah fidyah dalam bentuk sukatan atau timbangan adalah seperti berikut:

  • Jumlah qadha puasa adalah kekal sebanyak 5 hari 
  • 1 hari puasa yang ditinggalkan dikenakan 1 cupak atau 688 gram. 
  • 5 hari puasa dikenakan 5 cupak (688 gram x 5 = 3,438 gram iaitu sebanyak 3 kg 438g).
  • Sekiranya kadar fitrah pada 1430H adalah RM6.50, maka ¼ harga fitrah adalah  RM1.625
  • Oleh yang demikian, kadar fidyah bagi 5 hari yang ditinggalkan adalah sebanyak RM8.125

 

-> Klik di sini untuk menggunakan KALKULATOR FIDYAH