ZAKAT GAJI- REALITI MASAKINI
|
OLEH : MOHD RAFIZ BIN MOHD YUSOFF
' Saya mempunyai pendapatan yang agak tinggi namun kehidupan saya sering dirundung malang. Bulan lepas saya kemalangan jalanraya, kereta saya rosak teruk, mujur saya tidak apa-apa, selang beberapa minggu rumah saya hangus dijilat api. Kehidupan saya sering berliku.Saya percaya semua ini adalah kerana tiada keberkatan dalam harta yang saya miliki akibat terlalai menunaikan tuntutan berzakat
'
Luahan seorang ahli korporat ini masih terpahat di hati penulis. Ianya satu luahan yang benar-benar berlaku. Luahan ini mengingatkan penulis pada peristiwa yang terjadi kepada Tha'alabah b. Hatib. Daripada seorang yang miskin berubah menjadi seorang yang kaya namun apabila kekayaan menguasai diri, Tha'alabah kufur di atas nikmat yang Allah limpahkan dan akhirnya Tha'alabah kembali menjadi seorang miskin. Kekayaan Tha'alabah ditarik kembali oleh Allah SWT akibat kealpaan dari kekayaan yang melimpah ruah. Sesungguhnya harta di dunia ini adalah pinjaman semata-mata. Allah berhak memberi dan menarik balik nikmatnya pada sesiapa yang alpa dan lalai. Dalam kegawatan ekonomi masa kini seharusnya kita merenung sejenak adakah kegawatan ini berpunca dari sifat tamak dan rakus manusia dalam mengejar kebendaan tanpa memikirkan tuntutan Allah iaitu mengeluarkan zakat.
Menyedari hakikat itu, zakat seharusnya menjadi pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Kewajipan berzakat tidak hanya terbatas kepada pertanian, ternakan dan perniagaan semata-mata. Skop zakat harta sewajarnya dipandang dengan lebih meluas berdasarkan keadaan ekonomi semasa. Adalah tidak adil jika kita masih memandang skop zakat berdasarkan keadaan ekonomi dahulu yang pastinya tidak relevan dengan ekonomi pada masa kini. Zakat bukan semata-mata sumbangan tetapi merupakan langkah yang perlu ke arah kemajuan umat Islam sejagat disamping membersihkan jiwa dari kejahatan hawa nafsu yang melampaui batas.
Dalam Surah Al-Baqarah ayat 267 Allah SWT berfirman yang bermaksud :
' Wahai orang-orang yang beriman ! Nafkahkanlah ( keluarkan zakat ) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik. Dan sebahagian daripada apa yang kamu keluarkan daripada hasil bumi dan jangan kamu pilih yang buruk-buruk, padahal kamu sendiri tidak menyukainya. Ketahuilah Allah Maha Kaya Lagi Sentiasa Terpuji
'
Ayat tersebut memberi perhatian kepada setiap umat Islam agar berusaha untuk mempelbagaikan sumber harta yang diperolehi melalui daya usaha atau kerjaya. Ayat ini secara jelas membuktikan bahawa segala harta kekayaan yang diperolehi secara halal dengan hasil titik peluh sendiri adalah wajib dikeluarkan zakat.
Para fuqaha' masa kini sudah seharusnya mengkaji dan menyingkap era baru mengenai penafsiran ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadis yang berkaitan dengan soal ekonomi dan harta supaya umat Islam tidak melihat kewajipan berzakat berdasarkan zaman yang lampau. Ekonomi umat Islam di Malaysia telah meningkat, dengan itu sudah ramai rakyat Malaysia yang beragama Islam menjadi hartawan, berpendapatan tinggi dan memiliki aset-aset yang besar. Jika difikirkan secara teliti wajarkah golongan ini dibebaskan dari kewajipan berzakat sedangkan petani yang telahpun mempunyai hasil sebanyak RM 400 dibebankan zakat sebanyak 5 % - 10 % ? Islam adalah agama yang adil. Adakah ini keadilan ? Sedangkan zakat dikenakan kepada golongan yang berkemampuan dan kaya.
Jika mahu dihurai dari sudut keadilan, seorang petani yang mengusahakan padi memperolehi di antara 350 - 600 gantang yang bernilai kira-kira RM 400 - RM 550 sudahpun melayakkan mereka membayar zakat. Persoalannya wajarkah seorang pegawai, jurutera, doktor, juru terbang dan sebagainya yang berpendapatan di antara RM 1,000 - RM 10,000 sebulan tidak diwajibkan ke atas pendapatan ? Prinsip zakat bertujuan mengimbangi pendapatan berkapita dan sistem agihan untuk mewujudkan keadilan ekonomi umat Islam. Sabda Rasullullah S.A.W. : ' Tiga golongan yang akan dimurkai Allah ialah orang yang telah berumahtangga melakukan persetubuhan haram, orang miskin yang pembelit dan orang kaya yang menindas '
Umum di kalangan kita menyaksikan betapa ketika di setiap Bulan Ramadhan ramai di kalangan umat Islam berpuasa tetapi apabila menjelang Syawal mereka hanya menunaikan zakat fitrah dengan meninggalkan zakat wajib yang lain. Jika dilihat fenomena ini secara terbuka adalah menjadi hakikat ramai di kalangan umat Islam yang tidak lupa menunaikan zakat fitrah. Walaubagaimanapun sedarkah kita bahawa zakat juga wajib dikeluarkan pada harta yang lain seperti wang simpanan, saham, pendapatan bulanan dan tahunan, caruman di KWSP dan sebagainya.
Zakat gaji merupakan zakat ke atas pendapatan yang diperolehi secara bekerja dan berusaha oleh orang Islam samada dalam bentuk gaji, upah, elaun pendapatan sampingan dan seumpamanya. Persoalan zakat gaji mula ditonjolkan oleh Prof. Dr. Yusof Al-Qardawi yang bermazhab Hanafi. Beliau dalam bukunya Fiqh Zakat telah membawa satu pembaharuan mengenai zakat yang dirasakan begitu relevan dengan dunia masa kini. Beliau melihat keadaan pada hari ini yang tidak mengikut hakikat kehidupan yang adil. Contohnya tidak adil sama sekali para petani yang daif dikenakan zakat ke atas hasil pendapatan, sedangkan pegawai yang bergaji besar tidak dikenakan zakat dengan alasan tidak cukup haul. Harta laksana darah yang mengalir di dalam sistem tubuh manusia yang mana diibaratkan pengawal kepada perjalanan hidup yang sempurna dan penuh keberkatan. Dalam Surah Al-Anfal 8: ayat 3 , Allah SWT telah menghuraikan sifat-sifat insan yang beriman. Salah satu sifat orang yang beriman ialah dengan mengeluarkan zakat atau rezeki yang diperolehi.
Allah berfirman :
' Sesungguhnya orang yang sempurna iman mereka ialah apabila disebut nama atau sifat Allah gementar hati nuraninya. Dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambah keimanannya. Kepadanya mereka menyerah mereka berdiri dari orang yang istiqamah solatnya dan mengeluarkan zakat rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka. Merekalah orang yang benar-benar beriman, mereka mendapat pahala berganda-ganda , keampunanan dunia dan akhirat dan ditempatkan di dalam syurga
.'
Perbezaan pendapat mengenai zakat gaji sering berlaku di kalangan para fuqaha' dan alim ulama. Ada pendapat yang mengatakan hasil pendapatan tidak dikenakan zakat secara terus tetapi dikenakan zakat sekiranya ianya disimpan atau dilaburkan. Jika pendapatan itu disimpan ianya dikenakan zakat saham. Dalam konsep yang lebih luas ada pula yang didapati hasil pendapatan yang tidak diperlukan haul dan mesti disimpan. Contohnya hasil pendapatan petani. Hujah ini mewujudkan perbezaan pendapat antara para fuqaha dan alim ulama.
Fenomena perbezaan pendapat ini juga wujud di Malaysia. Menurut pengamatan penulis terdapat dua golongan ulama yang mencetuskan perbezaan pendapat mengenai zakat ke atas gaji. Pertama golongan ulama yang agak tradisional, golongan ini berpendapat zakat tidak dikenakan secara langsung kecuali disimpan. Walaubagaimanapun terdapat juga ulama-ulama yang membuat kajian - kajian yang mendalam dan tidak melihat hukum itu dari sumber yang statik tetapi melihat dengan lebih kritis adan analisis, berpendapat hasil pendapatan perlu dizakatkan. Inilah perbezaan yang wujud dan perbezaan ini jangan dilihat sebagai pertentangan hukum yang merangkumi Al-Quran dan Hadis tetapi pertentangan pendapat dan sikap ulama moden. Dari segi ekonomi, perkara semasa harus berlandaskan keadaan semasa, jika seseorang itu menyelesaikan sesuatu perkara dengan tidak berpandukan kepada faktor dan keadaan semasa ia dikira bercakap dalam bentuk nostalgia. Seorang penyair Abasyiah pernah berkata 'kelmarin adalah sejarah, esok masih cita-cita, realitinya ialah hari ini.'
Dalam konteks zakat gaji jika diperkatakan soal hukum ia tidak merupakan satu perbahasan yang selesa. Isu ini sering dibangkitkan di dalam seminar-seminar dan forum-forum namun segala persoalan hilang begitu sahaja tanpa meninggalkan sebarang noktah. Walaubagaimanapun di sebalik kekeliruan yang timbul itu samada disedari atau tidak 8 buah negeri di Malaysia telah menfatwakan zakat hasil penggajian sebagai wajib. Negeri-negeri tersebut ialah Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Perlis, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Selangor. Pada 22 Jun 1997 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah menfatwakan bahawa zakat ke atas penggajian adalah wajib ke atas seseorang Islam yang layak.
Di antara hikmah berzakat seperti yang diketahui adalah untuk membersihkan harta pemiliknya. Kesucian dan keberkatan harta akan terjamin jika zakat dikeluarkan. Persoalannya apakah hanya penternak , petani dan peniaga sahaja yang perlu menyucikan diri dari hasil pendapatan mereka ? Jika dilihat dari segi perbezaan ekonomi adalah jelas pendapatan golongan yang bekerja makan gaji jauh lebih tinggi dari golongan petani. Apakah kita hanya mahu terus mengutip zakat dari kalangan petani dan penternak ? Tercapaikah hasrat untuk membebaskan kemiskinan dan membangunkan ummah ? Apakah adil zakat hanya dipungut dari kalangan petani dan penternak sedangkan golongan yang bekerja makan gaji semakin mewah dengan rezeki yang melimpah ruah ? Prinsip keadilan tidak akan menjawab ' ya ' bagi soalan-soalan ini.
Sesungguhnya umat Islam harus berusaha untuk menjadi seorang pembayar zakat bukan hanya mencipta pelbagai alasan untuk mengelak dari membayar zakat. Zakat merupakan salah satu dari Rukun Islam yang lima. Agak malang bagi golongan yang kaya dan berharta jika gagal menyempurnakan tuntutan Ilahi ini. Tiada guna harta walau setinggi gunung jika zakat tidak dikeluarkan. Di zaman Rasullullah umat Islam bersungguh-sungguh untuk mencari harta agar dapat membayar zakat tetapi di zaman ini umat Islam hanya berlumba-lumba mencari harta untuk mengejar kenikmatan dunia semata-mata. Mereka enggan membantu membangunkan ummah. Dengan kata lain, mereka meninggalkan jalan utama untuk pembangunan umat Islam dan sesat di pelbagai jalan kecil yang mati dan terbiar. Pembayaran zakat merupakan satu ketaatan dan ketakwaan yang sebenar terhadap Allah SWT. Al-Quran telah menegaskan ketakwaan golongan ini dalam Surah Al-Mukminun 23 : 60 yang bermaksud :
' Dan orang-orang yang memberi apa yang telah mereka berikan , dengan hati yang takut ( kerana mereka tahu bahawa ) sesungguhnya mereka akan kembali pada Tuhan mereka
.'
Lain-Lain Tajuk Tazkirah |