Zakat Alat Menyuci Diri, Penyambung Silaturahim
|
KALIMAH zakat dari segi bahasa bermaksud tumbuh, bertambah, cerdik, baik, suci dan subur. Di segi istilah pula, zakat bermaksud mengambil harta tertentu yang diberikan kepada orang tertentu dengan syarat tertentu.
Allah mewajibkan zakat kepada setiap orang Islam apabila hartanya mencukupi nisab dikenakan zakat dan memenuhi syarat tertentu. Kewajipan mengeluarkan zakat diterangkan dalam al-Quran. Firman Allah maksudnya: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka." (Surah at-Taubah, ayat 149).
Bagi memastikan urusan zakat dilaksanakan dengan baik, Islam menggariskan syarat wajib Zakat. Syarat pertama wajib zakat ialah beragama Islam. Justeru, orang bukan Islam tidak wajib dikenakan zakat.
Bagi orang baru memeluk agama Islam, ia tidak diwajibkan mengeluarkan zakat bagi tahun sebelumnya (semasa belum Islam ) tetapi kewajipan ini tertanggung ke atasnya selepas menjadi Muslim.
Syarat beragama Islam meliputi semua lapisan Muslim sama ada dewasa, kanak, kanak, tua, muda, lelaki, perempuan, sihat, uzur, berakal dan tidak berakal. Bagi kanak- kanak yang belum baligh atau orang gila yang mempunyai harta, kewajipan mengeluarkan zakat adalah ke atas wali atau penjaganya.
Syarat kedua ialah merdeka. Hamba walaupun mempunyai harta banyak tidak diwajibkan zakat kerana hartanya adalah di bawah milik tuannya. Maka zakat ke atas harta wajib dikeluarkan oleh penjaga hamba.
Syarat ketiga ialah sempurna milik. Sempurna milik bermaksud harta yang dimiliki berada dalam kawalan dan penguasaan penuh pemiliknya tanpa bersangkutan dengan hak orang lain seperti hutang dan gadaian.
Syarat keempat pula ialah sempurna haul. Haul ialah pusingan 12 bulan Hijrah atau genap setahun (354 hari). Syarat sempurna haul dikenakan kepada semua harta yang dikenakan zakat kecuali bijiran dan buah-buahan. Tanaman ini dikenakan zakat selepas musim menuai.
Syarat kelima dikenakan zakat ialah cukup nisab. Nisab ialah kadar minimum yang ditetapkan syarak bagi harta untuk dikeluarkan zakat.
Hakikatnya, hikmah ibadat zakat bertujuan menghubungkan di antara orang kaya dan orang miskin dengan ikatan teguh, lalu menimbulkan perasaan dalam sanubari golongan miskin bahawa mereka ada bahagian dalam harta orang kaya. Dengan itu tercetus rasa cinta terhadap orang kaya dan mengharapkan agar harta mereka sentiasa bertambah dan memperoleh keberkatan.
Rasulullah saw pernah mengingatkan seorang jutawan daripada suku Tamim yang bertanyakan baginda mengenai cara membelanjakan harta. Rasulullah saw bersabda, maksudnya: "Engkau keluarkan zakat daripada hartamu kerana zakat itu alat yang menyucikanmu, menghubungkan silaturahim dan engkau mengerti akan haknya orang miskin dan jiran tetangga serta orang yang meminta."
Menerusi sistem zakat ini, masalah ekonomi umat Islam dapat diselesaikan dengan cara tersendiri, iaitu dengan mengambil jalan sederhana, baik dan praktikal untuk mewujudkan perimbangan di antara golongan kaya dan miskin.
Manusia sentiasa berusaha mengembangkan harta seperti melalui berniaga dan bertani, kemudian dikeluarkan zakat daripada harta yang disayangi. Itu adalah salah satu kaedah mendidik jiwa cukup luhur yang dianjurkan Islam. Dengan kewajipan berzakat, Islam mahu melepaskan manusia daripada kehidupan kebendaan kepada kejernihan rohani, sekali gus mengajar mereka hidup bermasyarakat yang dipupuk dengan nilai kasih sayang. Justeru, setiap warga masyarakat tidak hanya mementingkan diri dan keluarga saja dan membiarkan orang lain hidup dalam kesempitan dan kesusahan.
Zakat adalah ibadat bersifat kebendaan. Ia mencerminkan bahawa Islam menitikberatkan kepentingan mengawal aspek kebendaan bertujuan mengelakkannya daripada amalan bertentangan dengan agama seperti boros, bakhil dan membazir.
Allah mewajibkan zakat ke atas Muslimin kerana dengan ibadat ini ia dapat menghiasi Muslimin dengan sifat mahu berkorban dan berbakti semata-mata untuk mencapai keredaan Allah. Ia membersihkan hati mereka daripada perasaan ego, cinta diri, sempit dada, pemujaan harta dan sifat keji.
Golongan berhak menerima zakat sudah ditentukan dalam al-Quran. Firman Allah maksudnya: "Sesungguhnya zakat itu adalah untuk orang fakir, orang miskin, pengurus wang zakat, muallaf yang dipujuk hatinya, untuk memerdekakan budak, orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 60).
Di antara hikmah kenapa hanya golongan ini dikenakan zakat ialah:
> Fakir miskin. Zakat diberikan kepada mereka untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Ini kerana, pengagihan zakat kepada mereka adalah dalam bentuk yang dapat mencapai matlamat untuk menampung keperluan dihadapinya dan keperluan kegiatan ekonominya.
> Hamba. Zakat adalah satu keperluan hamba untuk membolehkannya membebaskan dirinya daripada sifat kehambaan. Jadi, zakat diagihkan untuk golongan ini bagi membolehkannya mendapat semula nilai kemanusiaannya yang hilang.
> Orang yang berhutang. Ia dikelaskan kepada dua jenis iaitu pertama, orang berhutang demi kepentingan masyarakat sekalipun dia orang kaya atau berada. Kedua, orang berhutang untuk kepentingan diri kerana sesuatu tujuan halal. Orang berhutang berhak menerima zakat untuk menyelesaikan hutang berkenaan. Dengan kaedah ini, setiap orang tidak akan teragak-agak melakukan kegiatan kemasyarakatan, sekalipun membabitkan pinjaman kerana dia menyedari bahawa perkara itu akan ditanggung bersama oleh masyarakat melalui institusi zakat.
> Golongan yang berjihad di jalan Allah (fisabilillah). Pejuang fisabilillah boleh menerima zakat kerana mereka memikul tanggungjawab berat dalam menegakkan nilai kemanusiaan yang tinggi bagi kepentingan ummah dan menjamin wujudnya masyarakat baik.
> Musafir yang kehabisan perbelanjaan. Golongan ini berhak menerima zakat sekadar keperluannya dengan syarat perjalanannya memenuhi tujuan syarak atau dilarang dengan syarat dia bertaubat.
> Muallaf. Zakat diberikan kepada mereka sama ada untuk menguatkan keimanannya atau menyelesaikan masalah yang dihadapi bagi kepentingan masyarakat Islam. Jelas di sini, zakat adalah tuntutan yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam kerana sumbangannya amat besar bagi mewujudkan kesejahteraan bersama. Wang zakat tidak boleh diselewengkan untuk tujuan peribadi atau kepentingan sendiri kerana harta itu adalah milik umat Islam.
(Ehsan Berita Harian)
Lain-Lain Tajuk Tazkirah |