Oleh Mohd Rafiz bin Mohd Yusoff (rafiz@zakatns.com.my)
Wahai diri yang memiliki nafsu dan kesombongan. Kenapakah mesti berbangga dengan kecantikan, kekuatan, keturunan, bakat, kuasa, harta dan kekayaan ? Tidakkah pernah terfikir dan merenungi asal kejadian diri ? Ke manakah diri akan berakhir kesudahannya ?
Mungkin pada hari ini kita gah sebagai manusia tersohor atau manusia yang memiliki segala kemewahan yang melimpah ruah mempunyai harta yang tidak terkira dan terhitung banyaknya. Atau barangkali juga kita ini seorang fakir yang daif. Merempat dan menghitung detik waktu hadirnya kesenangan dan kemewahan.
Apakah nilainya martabat dan lapisan darjat dalam sorot mata fikir seorang insan berbanding penilaian Allah SWT, mungkin si kaya tadi mempunyai segala macam kemewahan dan kesenangan tapi kufur atas timbunan nikmat itu. Namun si miskin yang daif, walaupun miskin harta namun kaya akan timbunan pahala hasil dari amalan-amalannya.
Tanyalah pada diri
Apakah segala yang dimiliki itu benar-benar hak mutlak sendiri ? Apakah pemberian dan nikmat Allah itu telah dizakatkan ? Bukan semua yang dimiliki adalah hak mutlak kita, ada secebis hak insan lain dalam harta kita yang perlu dizakatkan.
Termampukah kita mengadakan segalanya tanpa nikmat Allah ? Hidup ini adalah satu persinggahan dan peperiksaan bagi sebuah perjalanan menuju kehidupan abadi yang tiada penghujungnya. Segala yang dimiliki hanyalah pinjaman buat sementara waktu sahaja. Kita tidak akan membawa bersama harta, pangkat, kekayaan dan darjat sebagai bekalan , tetapi hanya amalan baik seperti ilmu yang bermanfaat , anak yang soleh, sedekah, zakat dan amal ibadat sebagai bekalan untuk timbangan di Padang Masyhar. Apakah timbangan di Padang Masyhar nanti akan menyaksikan amalan baik kita (pahala) lebih berat dari amalan buruk kita (dosa) atau sebaliknya
..? Tanyalah pada diri
.
Walau bagaimana jua keadaan hidup kita, sesungguhnya Allah telah mengurniakan segala rahmat dan nikmat yang tidak terhingga, makanan, keselesaan, pakaian, udara yang kita hirup adalah nikmat Allah yang tidak bertepi. Allah mewajibkan kita taati perintahnya seperti menunaikan sedikit harta untuk dizakat,itupun bukan untuk 'Nya' tapi untuk umat Islam yang memerlukan. Allah tidak akan rugi walau sekelumit pun kerana seluruh alam ini adalah milik-Nya
.. yang rugi adalah bagi mereka yang terlalai akan perintah dan seruan-Nya.
Allah mentadbir sekalian makhluk yang dijadikan-Nya dengan penuh hikmah. Tiada sezarah pun yang akan terlepas dari pemerhatian-Nya. Dalam kehidupan kita sebagai manusia, tiadalah daripada kita mengatasi ketentuan Allah. Takdir Allah mengatasi segala tadbir manusia.
Semua manusia adalah sama tarafnya di sisi Allah SWT cuma yang membezakan adalah tahap amalan dan kebajikan. Bagi yang berkemampuan ayuhlah ! Tunaikan rukun Islam yang ketiga iaitu menunaikan zakat. Bersegeralah menunaikannya selagi kita masih mempunyai harta, kenikmatan dan ruang waktu. 'Tepuk dada tanya selera ' betulkah ungkapan popular itu ? Sebenarnya 'tepuk dada tanya iman'. Iman adalah umpama mutiara di dalam hati manusia. Tanpa iman manusia bebas melakukan apa sahaja tanpa batasan. Tanpa iman manusia tidak akan menjadi seorang pembayar zakat! Jika diikutkan 'selera' sampai bila pun manusia tidak akan menjadi pembayar zakat. Sebab apa ? kerana semuanya tak pernah 'cukup'
Jika hendak menunggu 'cukup' sampai bila pun kita tidak akan menjadi seorang pembayar Zakat. Sampai bila pun rukun Islam kita tidak akan sempurna.
Kita tidak mampu dibelit dan dikalung dengan api neraka kerana kebakhilan kita, sepertimana firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 180 : " Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka dari kemurahannya menyangka sikap bakhil itu adalah baik bagi mereka.Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan menjadi bahan seksaan mereka dengan dikalungkan dan dibelit lehernya di hari kiamat kelak
."
Sebenarnya terlalu banyak keajaiban Allah yang kita saksikan. Di antara begitu banyak keajaiban itu, barangkali tiada yang lebih ajaib dari kejadian serta ragam hidup manusia. Lebih ajaib lagi, manusia itu bebas pula untuk memilih amalan yang bakal membawa dirinya ke syurga atau neraka ! Contohnya seorang yang berkemampuan boleh memilih samada hendak membayar zakat atau tidak
.! Zakat bukan pilihan, Ianya satu kewajipan. Kewajipan yang bukan bebanan. Ayuhlah ! Tunaikan Zakat Sebelum Terlambat
..!
Lain-Lain Tajuk Tazkirah |