SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL
12hb. RABIUL AWAL 1422Hijrah bersamaan 4hb. JUN 2001Masihi
|
Untuk semua para Muslim dalam memperingati Baginda Rasurullah S.A.W.
Muslimin dan Muslimat yang dihormati dan dikasihi sekalian. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan berkat limpah kurniaanNya, berkesempatan lagi kita bertemu di ruangan Ilmu Islam ini. Alhamdulillah juga kerana dengan berkat kebesaranNya, kita di pertemukan di hari yang penuh rahmat kebesaran ini, iaitu Hari Isnin bertarikh 12hb. Rabiul Awal tahun 1422 Hijrah bersamaan 4hb. Jun tahun 2001 Masihi, hari yang paling bersejarah di dalam Takwim Islam di mana ia adalah Hari Ulang Tahun Keputeraan Sabda Junjungan Baginda Nabi Muhammad Rasurullah Sallallahu Alaihi Wassalam, sebagaimana yang telah kita semua pelajari dan ketahui bahawa kelahiran Baginda adalah penyudah kepada seluruh sistem kenabian dan kerasulan, sebagai Nabi dan Rasul Allah S.W.T. yang terakhir untuk seluruh Umat Manusia, dan bermulanya Alaf Terakhir Zaman ke atas seluruh hayat kehidupan.
Marilah kita berhenti sejenak dari sebarang apa jua yang sedang kita lakukan di ketika ini dan peruntukkanlah hanya beberapa minit untuk bertakafur disamping memberi salam, selawat dan menghadiahkan sesurah Al-Fatihah buat Sabda Junjungan Baginda Rasurullah S.A.W.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaika Warahmatullahi Ta'ala Wabarakhatuh Ya Khususan Ila Rohi Ya Ayyuhan Nabi Allah Suhanahu Wa Ta'ala Saidina Muhammad Rasurullah Sallallahu Alaihi Wasallam Ibni Abdullah.
Allahumassalli Ala Muhammad Wa Ala Ali Muhammadin Wabarik Wassallim.
Allahumassalli Ala Muhammad Wa Ala Ali Muhammadin Wabarik Wassallim.
Allahumassalli Ala Muhammad Wa Ala Ali Muhammadin Wabarik Wassallim.
Al-Fatihah.
Bagi Muslimin dan Muslimat yang mengambil inisiatif berpuasa pada hari ini, ia adalah puasa yang penuh bermakna dan mempunyai hikmah serta pahala yang amat besar kerana puasa anda itu dikira sebuah Puasa Isnin dan sebuah Puasa Maulidur Rasul. Hadiahkanlah seluruh pahala puasa anda ini kepada Sabda Junjungan Nabi Muhammad Rasurullah S.A.W. nescaya anda akan beroleh Syafaat Besar Baginda di Akhirat dan Kiamat kelak. Syafaat yang akan menghapuskan segala apa jua dosa anda, melindungi anda dari kesengsaraan Kiamat dan menjamin kedudukan anda di Syurga kelak. InsyaAllah
Kemudiannya renungilah sedalam yang mungkin akan apakah kedudukannya Baginda Rasurullah S.A.W. di dalam diri kita sebagai Muslim. Sejauh manakah ingatan kita terhadap Baginda, sejauh manakah kerinduan kita terhadap Baginda, sejauh manakah kasih sayang kita terhadap Baginda, sejauh manakah kita mengikut sabda-sabda nasihat Baginda, sejauh manakah kita mencontohi peribadi Baginda, sejauh manakah kita melaksanakan sunnah-sunnah Baginda, sejauh manakah kita mematuhi perintah-perintah Baginda dan akhir sekali sejauh manakah kita mematuhi dan melaksanakan sabda-sabda wasiat Baginda.
Cukupkah lima waktu sehari solat kita, atau empat sahaja, atau tiga sahaja, atau dua sahaja atau satu sahaja atau tidak buat langsung? Kalau Muslimat adalah juga kelonggarannya, tetapi kenapa lebih ramai pula Muslimin yang "uzur"? Bergantikah tidak solat-solat itu? Bagaimana pula dengan puasa, penuhkah sebulan dalam setahun puasa kita, atau kurang sehari, dua, tiga, empat atau tidak sampai suku hari pun? Sekali lagi kalau Muslimat ada juga kelonggarannya, tetapi kenapa lebih ramai pula Muslimin yang "uzur"? Bergantikah tidak puasa-puasa itu? Bagaimana pula dengan zakat, semua jenis zakat dijelaskankah atau setakat jelaskan Zakat Fitrah RM4.00 setahun sekali itu sahaja, atau satu pun tidak pernah bayar langsung? Yang ini tidak kira uzur atau tidak uzur, tiba waktunya mesti segera dijelaskan.
Soalan sebegini sememangnya tidak akan ada hentinya. Dari solat akan berjangkit kepada puasa, dari puasa akan berjangkit kepada zakat dan daripada zakat akan berjangkit kepada bermacam-macam persoalan lagi. Pokoknya kita sebagai Muslim sememangnya sentiasa tahu akan apa yang telah, sedang dan akan dilakukan. Sekiranya kita waras berfikiran, nescaya kita akan segera menemui setiap kekurangan dan kelemahan yang dimaksudkan di dalam diri kita. Jesteru adalah amat wajar dan wajib bagi kita berusaha memperbetulkan keadaan untuk memperbaiki setiap kekurangan dan kelemahan tadi sebaik yang mungkin.
Jangan pula ada keegoan dalam hal ini. Ego tidak akan membantu kita sebaliknya akan mendorong kita untuk berselindung dari kebenaran atau realiti dengan membuat helah dan tipu daya. Menipu orang lain memungkinkan kita akan terlepas tetapi perbuatan itu kelak atau lambat laun akan akhirnya terbongkar juga. Tidak akan ada untungnya menipu sebaliknya akan menjerat diri sendiri kerana segalanya adalah perbuatan-perbuatan menipu diri sendiri. Baginda Rasurullah S.A.W. telah menegaskan dengan sejelas-jelasnya bahawa seburuk-buruknya manusia ialah manusia yang menipu dirinya sendiri.
Manakala sebaik-baik manusia pula, mengikut sabda Baginda Rasurullah S.A.W. adalah manusia yang sentiasa sedar akan segala kekurangan dan kelemahannya serta insaf dan bertaubat akan segala silap, salah dan dosanya. Adakah kita berada dalam kategori ini? Atau adakah kita berada dalam ketegori yang disebut sebelumnya? Mana satu pun kategorinya kita sendiri yang sepatutnya tahu dan sendirilah juga yang sepatutnya membuat tindakan susulan. Jika buruk segeralah diperbetulkan dan sekiranya baik diperhebatkanlah lagi.
Kita semuanya patut sedar dan mesti sentiasa sedar yang kita sekarang berada di Akhir Zaman. Walapun di Akhir Zaman ini baru terciptanya pembangunan dan kemajuan tetapi kita jangan pula sesekali tersilap dengan terpengaruh dengan kata-kata bahawa ini semua adalah permulaan. Permulaan apa yang dimaksudkan itu? Bagi segerombolan manusia mereka berkata dunia tidak akan berakhir bagi tempoh berbilion tahun lagi dan semua sekarang adalah permulaan ke arah era pembangunan dan kemajuan manusia yang sebenarnya. Manusia akan menjadi serba maju dan canggih dalam segala hal.
Ketahuilah bahawa inilah yang dimaksudkan dengan Akhir Zaman. Kemajuan dan kecanggihan yang akan membawa kemusnahan. Hanya dengan sedikit kesilapan akan memusnahkan kita. Lihat sahaja pada negara kita Malaysia, membangun dengan begitu pesat sekali dalam hanya 44 tahun selepas merdeka. Kita tidak perlu membayangkan bagaimanakah pesatnya Malaysia 44 tahun lagi dari sekarang. InsyaAllah, sekiranya rezeki Malaysia terus melimpah ruah, dengan hanya 22 tahun sahaja lagi akan cukup memperlihatkan seluruh Negeri Selangor dipenuhi oleh bangunan-bangunan pencakar langit dan tidak kurang juga keadaannya di Sepang, Nilai, Seremban dan Port Dickson yang merupakan bandar-bandar terdekat. Begitu juga dengan lain-lain bandar di seluruh negara. Sekiranya sudah ada kemajuan asas dibina, kemajuan yang seterusnya tidak akan mengambil masa yang terlalu lama untuk diperluaskan.
Di sana-sini kita lihat begitu banyak perkara dan benda yang canggih-canggih. Semuanya adalah untuk kemudahan kita dan sememangnya membawa banyak manfaat kepada kita. Tetapi kesan buruknya lebih lagi apabila benda yang canggih-canggih tadi mulai rosak dan seterusnya menjadi sampah. Pencemaran mula berlaku, gas-gas beracun merebak ke serata bumi, merubah cuaca, iklim dan keadaan geografi seterusnya membentuk bermacam-macam malapetaka dan bencana alam. Kerana inilah antara sebab kenapa cuaca di Malaysia menjadi lebih panas daripada tahun-tahun sebelumnya dan musim buah-buahan di negara ini sudah tidak menentu lagi. Dusun buah-buahan sudah beberapa tahun tidak mengeluarkan hasil dan para pekebun terpaksa memaksa pokok buah-buahan mereka dengan baja agar berbuah. Inilah juga antara sebab kenapa Malaysia sekarang ini menjadi pusat utama guruh, kilat, petir dan halilintar di dunia. Tetapi ianya bukan salah kita sepenuhnya, sebaliknya lebih kepada pencemaran yang dilakukan oleh negara-negara yang lebih maju dan moden di utara dan selatan Hemisfera Bumi. Pencemaran yang dilakukan lebih memberi kesan kepada negara-negara di Hemisfera Tengah iaitu di sekitar Garisan Khatulistiwa.
Sedarilah bahawa Akhir Zaman bukannya permulaan kepada era kehidupan yang berterusan. Ianya bukan sebagai hanya zaman yang tidak lagi bernabi dan rasul tetapi sebenarnya zaman yang akan menemui Hari Akhirnya iaitu Kiamat. Apabila tibanya Hari Kematian seseorang itu, maka bermulalah Hari Persemadian pertamanya di Alam Barzakh, alam pertama Akhirat dan apabila berakhirnya saat terakhir kehidupan dan seluruh alam, maka berlakulah Hari Kiamat dan tiada siapa akan dibangkitkan kembali melainkan tibanya Hari Kebangkitan yang akan hanya berlaku 500 tahun selepas Hari Kiamat. Seterusnya 500 tahun diperuntukkan untuk membangkitkan seluruh manusia dan 500 tahun lagi untuk menghimpunkan manusia di Padang Mahsyar. Dan manusia akan berada di Padang Mahsyar selama 50,000 tahun tanpa minum dan makan tetapi mempunyai perasaan dahaga dan lapar sehingga segala proses Kehakiman Allah S.W.T. selesai. Semuanya adalah perkara-perkara yang pasti berlaku dan berada di hadapan kita semua.
Baginda Rasurullah S.A.W. pernah bertanya kepada Malaikat Jibrail A.S. akan bagaimanakah keadaannya dunia sewaktu itu. Lantas Malaikat Jibrail A.S. menerangkan bahawa dunia seolah-olah seperti seorang tua yang masih boleh berjalan tetapi terlalu bongkok keadaannya. Muslimin dan Muslimat sekalian, itu adalah gambaran Malaikat Jibrail A.S. lebih kurang 1422 tahun yang dahulu, bagaimana dengan sekarang? Adakah orang tua itu sudah tidak mampu lagi berjalan dan sedang berbaring berperang dengan kesakitannya? Mungkin Ya kerana dunia di ketika ini sedang dilanda pencemaran daripada segala aspek, perlombongan yang keterlaluan, ujian-ujian senjata kimia dan nuklear yang berleluasa serta peperangan yang berterusan di kebanyakan tempat yang memusnahkan ekosistem, topografi, cuaca dan iklim. Jelas sekali kita tidak perlu menunggu berbilion tahun lagi untuk sebuah lagi komet berukuran 6 batu persegi menerjah bumi sebagaimana yang telah berlaku berbilion tahun lepas yang memusnahkan seluruh kehidupan di Zaman Purba.
Justeru kita harus sentiasa sedar dan insaf akan segala perilaku yang sehalus-halusnya tidak baik sehinggalah sebesar-besarnya kedurjanaan yang mungkin bersarang di dalam diri kita. Sedar, insaf dan bertaubat seterusnya perbaikilah keadaan ke arah yang lebih baik atau yang terbaik. Senantiasalah berbuat kebaikan di antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, pangkat dan kedudukan. Bantu-membantu di antara satu sama lain, tidak tamak dan bersifat pemurah sesama insan. Hidup kita ini sememangnya seumpama roda, sampai waktunya kita berada di atas, sampai waktunya pula kita berada di bawah dan di ketika ini kita berkemungkinan memerlukan bantuan. Walaupun orang di bawah selalunya tidak meminta tetapi memang menjadi tanggungjawab orang di atas mengambil tahu kesulitan yang dihadapi orang di bawah dan menghulurkan bantuan bukan orang di bawah kerana masing-masing pun turut tersepit. Sampai waktunya, orang di bawah akan berada di atas semula dan seperti biasa orang yang telah berada di atas janganlah pula akan lupa jasa orang di atas yang turun ke bawah. Seperti juga keadaan ekonomi negara kita di ketika ini, gawat dan semakin gawat nampaknya dari hari ke hari maka kita sebagai rakyat amat perlulah faham akan keadaan ini dan bersedia menghulurkan bantuan setakat mana yang termampu.
Kita menjadi kaya kerana adanya Allah S.W.T. yang mengurniakan kepada kita sebuah negara yang kaya, tetapi ada waktunya kaya pun tiada membantu juga apabila negara-negara yang biasa membeli hasil kita terpaksa mengurangkan belian kerana turut mengalami masalah ekonomi. Kita mestilah memahami masalah sebegini dan kita haruslah membantu dengan berusaha lebih gigih untuk mengembalikan keadaan ekonomi ke tahap yang asal. Apabila negara kembali kaya, semua rakyat akan menikmati hasilnya. Kemiskinan dapat dibendung dan segala macam program kebajikan dapat diteruskan.
Kita juga harus memastikan bahawa sebarang musibah yang menimpa itu bukan datangnya dari kemurkaan Allah S.W.T. terhadap kita. Jika kerana disebabkan oleh kesilapan kita yang tidak disengajakan, maka ianya mudah sahaja boleh diperbetulkan tetapi jika kesilapan itu sengaja dibiarkan menjadi kesalahan dan seterusnya menjadi dosa-dosa yang terkumpul dengan begitu banyak sekali, maka apa yang menimpa itu sudah tentunya adalah hukuman Allah S.W.T. ke atas kita dan sudah tentunya ianya agak sukar untuk diperbetulkan. Allah S.W.T. tidak akan menurunkan musibah sekiranya bukan kerana adanya salah dan dosa, kecuali silap yang berpunca dari kecuaian yang tidak disengajakan. Justeru kita mestilah sedar dan insaf serta bertaubat atas segala silap, salah dan dosa yang telah dilakukan.
Akhir Zaman ialah zaman yang sepatutnya umat manusia bermati-matian mencari kebenaran, dan sekiranya benar kebenaran yang mereka cari, maka mereka akan menemui Islam. Apabila telah memeluk Islam dan menjadi Muslim, sepertimananya kita Umat Islam yang sedia ada, bermati-matian pula untuk memelihara martabat dan kemuliaan Islam, bukannya bermati-matian untuk memelihara matlamat lain.
Orang-orang bukan Islam sememangnya senantiasa memerhatikan Islam, kerana sememangnya mereka mengakui akan keindahan Islam itu sendiri. Mereka melihat perilaku Umat Islam yang berakhlak mulia dan gaya kehidupan Umat Islam yang berpekerti tinggi sehingga ke tahap meneliti kebenaran dan kesyumulan Islam. Indah dan mempersonakan. Seumpama bunga yang cantik dan harum baunya. Justeru adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk senantiasa mencerminkan keperibadian yang mulia dan kebudipekertian yang tinggi agar Islam senantiasa berada di martabat kedudukan yang tinggi dan senantiasa dihormati. Menarik mereka ke dalam Islam adalah perbuatan amat terpuji kerana membebaskan mereka daripada kegelapan dan kejahilan seterusnya membebaskan mereka dari jaminan azab seksaan Neraka yang berkekalan.
Allah S.W.T. menjadikan tumbuh-tumbuhan pada Hari Isnin dan mengeluarkan hasil pertamanya juga pada Hari Isnin. Tumbuh-tumbuhan yang membentuk sifat sabar dalam dan luar tubuh badan manusia sementara menunggu hasilnya dan menyihatkan dalam dan luar tubuh badan manusia dengan zat makanan yang sempurna. Justeru Baginda Rasurullah S.W.T. dilahirkan pada Hari Isnin seumpama tumbuh-tumbuhan itu sebagai Nabi dan Rasul yang membersihkan dalam dan luar tubuh badan manusia dengan zat Allah S.W.T., dan menyihatkan dalam dan luar tubuh badan manusia juga dengan Zat Allah S.W.T. pada hari lengkapnya Islam yang juga jatuh pada hari Isnin.
Baginda Rasurullah S.W.T. wafat juga pada Hari Isnin bertarikh 12hb. Rabiul Awal iaitu di Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-63 Tahun. Semoga Allah S.W.T senantiasa mencucuri rahmat dan kesejahteraan ke atas roh Baginda dan meletakkan Baginda di aras kebesaran di sampingNya. Marilah sekali lagi kita bertakakur disamping memberi salam, selawat dan menghadiahkan sesurah Al-Fatihah buat Sabda Junjungan Baginda Rasurullah S.A.W.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaika Warahmatullahi Ta'ala Wabarakhatuh Ya Khususan Ila Rohi Ya Ayyuhan Nabi Allah Suhanahu Wa Ta'ala Saidina Muhammad Rasurullah Sallallahu Alaihi Wasallam Ibni Abdullah.
Allahumassalli Ala Muhammad Wa Ala Ali Muhammadin Wabarik Wassallim.
Allahumassalli Ala Muhammad Wa Ala Ali Muhammadin Wabarik Wassallim.
Allahumassalli Ala Muhammad Wa Ala Ali Muhammadin Wabarik Wassallim.
Al-Fatihah.
Semoga kita akan senantiasa dijauhi dari sebarang perkara yang boleh membawa kita kepada kemungkaran Allah S.W.T., semoga kita senantiasa beroleh rahmat hidayah Allah S.W.T. dan semoga kita akan senantiasa diberkati dan diredhai Allah S.W.T. dalam setiap urusan kehidupan kita di dunia mahupun di Akhirat kelak. InsyaAllah Wallahu Alamm Bissawwab
Lain-Lain Tajuk Tazkirah |