Berzakat
sifat orang beriman (Jun 2008)
|
SAYYID
Qutub berkata: "Di sebelah lembaran yang bertentangan
dengan lembaran yang menayangkan kekafiran dan dosa serta
ancaman terhadap pendokong-pendokong sistem riba itu ditayangkan
pula keimanan dan amalan yang soleh, sifat-sifat kelompok
mukmin dalam aspek ini dan tapak asas kehidupan yang ditegakkan
di atas sistem zakat yang bertentangan dengan sistem riba.
"Firman Allah SWT: Sesungguhnya
orang-orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, mendirikan
solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi
Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak
(pula) mereka bersedih hati. Hai orang-orang yang beriman,
bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum
dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.
(al-Baqarah: 277 & 278)
Sayyid
Qutub berkata: "Unsur yang muncul di lembaran ini ialah
unsur zakat, iaitu unsur pengorbanan tanpa gantian dan pulangan.
Ayat ini memperlihatkan sifat orang yang beriman dan asas
masyarakat mukmin, kemudian menayangkan gambaran keamanan,
ketenteraman dan keredaan Allah yang dilimpahkan ke atas masyarakat
mukmin ini.
Zakat
merupakan tapak asas masyarakat yang bertakaful dan saling
bantu-membantu, iaitu masyarakat yang tidak memerlukan kepada
jaminan sistem riba di dalam mana-mana aspek kehidupan.
Gambaran
zakat telah menjadi kabur di dalam perasaan kita dan dalam
perasaan generasi umat Muslimin yang malang yang tidak pernah
melihat sistem Islam dilaksanakan di alam kenyataan. Mereka
ini pula tidak pernah melihat sistem itu dibangunkan di atas
kefahaman keimanan, didikan keimanan dan akhlak keimanan untuk
membentuk jiwa manusia dengan pembentukan istimewa.
Kemudian
membangunkan untuk mereka satu sistem yang dapat melahirkan
kefahaman mereka yang betul, akhlak mereka yang bersih dan
budi pekerti mereka yang tinggi. Kemudian ia menjadikan zakat
sebagai asas sistem ini untuk menggantikan sistem jahiliah
yang ditegakkan di atas asas riba dan menjadikan hidup manusia
berkembang subur. Seterusnya ekonomi mereka meningkat maju
melalui usaha perseorangan atau melalui usaha saling bantu
membantu yang bersih daripada riba.
Gambaran
zakat telah menjadi semakin kabur sehingga generasi pada zaman
sekarang ini memikirkannya sebagai derma belas kasihan individu
yang sangat kecil yang tidak boleh dibangunkan di atas asasnya
satu sistem yang moden, tetapi hasil zakat itu amatlah besar.
Ia
memungut dua setengah peratus daripada harta modal orang ramai
dan keuntungannya. Ia dikeluarkan oleh orang yang dicipta
dan didikan oleh Islam dengan didikan istimewa melalui bimbingan
perundangan dan sistem hidup yang membuat pemikiran mereka
mengatasi hati nurani mereka yang tidak pernah hidup di dalam
sistem ini.
Ia
dipungut oleh kerajaan Islam sebagai satu bayaran yang wajib
bukan sebagai derma kasihan belas individu. Dengan hasil pungutan
zakat inilah kerajaan dapat membantu kelompok Muslimin yang
lemah hasil pendapatan peribadi mereka supaya setiap orang
merasa bahawa hidupnya dan hidup anak-anaknya adalah terjamin
dalam segala keadaan dan supaya yang berhutang dapat dibayar
hutangnya daripada hasil pungutan zakat sama ada hutang perniagaan
atau bukan perniagaan.
Yang
penting bukannya bentuk sistem itu, tetapi jiwa dan semangatnya.
Masyarakat yang dididik oleh Islam melalui bimbingan, undang-undang
dan peraturannya adalah sebuah masyarakat yang sepadu dengan
bentuk sistem dan tata caranya, sepadu dengan undang - undang
dan bimbingan-bimbingan. Daripada hati nurani dan susunan
masyarakat yang sepadu inilah lahirnya semangat takaful.
Hakikat
ini mungkin tidak dapat difahami orang yang lahir dan membesar
di bawah naungan sistem kebendaan yang lain, tetapi bagi kita
selaku penganut Islam itulah hakikat yang kita kenali dan
kita kecapi dengan selera keimanan kita.
Dan
jika mereka tidak merasakan kecapan ini kerana nasib mereka
yang malang dan kerana nasib umat manusia yang dipimpin mereka
juga malang.
Maka
biarlah ini menjadi habuan mereka dan biarlah mereka dinafikan
daripada menikmati kebaikan yang disampaikan berita baiknya
oleh Allah kepada orang yang beriman, yang mengerjakan amalan
yang soleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat itu.
Biarlah
mereka dinafikan daripada menikmati ketenteraman dan kepuasan
di samping dinafikan daripada ganjaran dan pahala. Kerana
mereka dinafikan daripada kenikmatan itu dengan sebab kejahilan,
jahiliah, kesesatan dan kedegilan mereka sendiri.
Firman
Allah SWT: Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada
Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika
kamu orang-orang yang beriman.
Ibnu
Jauzi berkata: Tiga pendapat ulama berkenaan dengan sebab
turun ayat ini:
i)
Diturunkan kepada Bani Amr bin Umai daripada Qabilah Thaqif
dan Bani Mughighah dan Bani Makhzum di mana Bani Mughigah
mengambil riba daripada Bani Thaqif. Apabila Allah mengharamkan
riba Bani Thaqif meminta kepada Bani Mughighah harta mereka
terdahulu, kemudian turunnya ayat ini. Inilah pendapat Ibnu
Abbas.
ii)
Diturunkan kepada Uthman dan Abbas, kedua-duanya melakukan
pembelian saham berkenaan dengan tamar sedangkan tuan tamar
berkata jika kamu mengambil harta kamu maka tiadalah yang
kekal di sisiku keluarga yang tidak mencukupi. Adakah boleh
bagi kamu mengambil separuh dahulu dan aku gandakan untuk
kamu? Kemudian kedua-duanya lakukan apabila sampai tempoh
kedua-duanya meminta penambahan, hal ini sampai kepada Rasullullah
SAW dan menegahnya. Lantas turunnya ayat ini.
iii) Diturunkan
kepada Abbas dan Khalid bin al-Walid yang menjadi rakan kongsi
pada zaman jahiliah dengan cara memberi pinjaman dalam riba,
kemudian datangnya Islam sedangkan harta mereka banyak terbabit
dalam riba. Lantas turunnya ayat ini.
Al-Maghaghi
berkata: "Pada ayat ini mengisyaratkan besarnya dosa
riba sehingga siapa yang tidak meninggalkan riba akan dijanji
balasan dan tidak dikira sebagai ahli iman yang baginya mempunyai
kekuasaan untuk melakukannya balasannya akan kekal dalam neraka.
Dengan sebab beriman sebahagian daripada agama dan kufur dengan
sebahagian yang lain tidak menepati kepatuhan amalan sebenarnya
begitu juga tidak dikira iman yang sebenarnya".
Kembali
Ke Halaman Utama |