PZNS Mengamalkan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2000
Zakat diertikan sebagai "tumbuh dan bertambah". Ianya juga bererti bersih, berkat, suci dan subur.
Zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima. Ianya telah difardhukan mulai tahun yang kedua Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.
Proses mengeluarkan zakat adalah merupakan asas kesempurnaan dan ketaqwaan kita di dalam menegakkan tunggak agama Islam yang maha suci. Ini kerana dengan mengeluarkan zakat, kita telah melaksanakan salah satu dari rukun Islam yang lima.
Ini dapat direnungi dari sebuah hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang bermaksud "Ini adalah ketentuan sedekah yang telah difardhukan oleh Allah SWT ke atas orang muslim".
Dengan berzakat akan diberi ganjaran 700 kali ganda untuk mereka nikmati semata-mata untuk menjamin kebahagiaan mereka di akhirat. Oleh itu zakat merupakan simpanan faedah di akhirat sebanyak 700%. Kenyataan ini dapat dibuktikan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 261 :- "Bandingan (zakat / derma / sedekah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan 7 tangkai, tiap-tiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Dan (ingatilah) Allah maha melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah maha luas (rahmat) kurniaNya...."
Membayar zakat merupakan satu kewajipan yang mesti dilakukan oleh setiap individu muslim yang telah cukup syarat-syaratnya. Di dalam Al-Quran, Allah telah menjanjikan balasan-balasan yang baik bagi orang yang mengeluarkan zakat. Sebaliknya bagi yang engkar dan sengaja meremehkan, Allah telah memberi amaran dan menjanjikan azab keseksaan.
Di dalam surah Al-Imran ayat 180 : " Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka dari kemurahanNya menyangka bahawa sikap bakhil itu baik bagi mereka sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan menjadi bahan seksaan mereka dengan dikalungkan dan dibelitkan lehernya di hari kiamat kelak ...."
Allah mewajibkan kepada kita bukanlah kerana Allah berhajat kepada harta kita, kerana seluruh alam ini adalah milikNya. Zakat merupakan ujian Allah melihat sejauhmana ketaatan hambaNya yang telah dikurniakan dengan seribu nikmat yang melimpah ruah. Semoga amalan kita di terima Allah dan beroleh keberkatan ke atas usaha serta harta kita.
Paparan menarik dengan Internet explorer 4 ke atas, dan paling sesuai dilayari dengan menggunakan window XP serta resolution 800x600 pixels