NEGERI
SEMBILAN KUTIP ZAKAT TERTINGGI RM 33.79 JUTA |

25 Februari 2009, Seremban - Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS)
memperoleh kutipan tertinggi zakat harta pada tahun lalu sebanyak
RM33.79 juta, satu rekod dalam sejarah penubuhannya.
Pengerusi
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Hj
Mohamad Hj Hasan berkata, kutipan berkenaan melebihi sasaran
RM29 juta yang ditetapkan tahun lalu selepas melihat prestasi
kutipan bagi tahun 2007 sebanyak RM26.57 juta.
''Jumlah
tersebut nyata menunjukkan peningkatan sebanyak 21.19 peratus
atau meningkat sebanyak RM7.2 juta.
''Ini
merupakan peratus kenaikan tertinggi sejak lapan tahun yang
lalu,'' kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
YAB
Dato' Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan yang juga Menteri Besar
Negeri Sembilan menjelaskan, berdasarkan jumlah pembayar pula,
PZNS merekodkan sebanyak 30,463 orang telah menunaikan pembayaran
zakat harta pada tahun lalu berbanding 27,849 orang pada tahun
2007.
''Ini
telah memperlihatkan peningkatan pembayar sebanyak 9.38 peratus
atau penambahan jumlah pembayar baru seramai 2,614 orang,"
jelas beliau.
Sementara
itu, beliau turut menjelaskan prestasi kutipan zakat fitrah
bagi tahun lalu ialah RM3,612,654.50 dengan jumlah pembayar
seramai 555,793 orang berbanding tahun 2007 dengan perolehan
kutipan sebanyak RM2,784,190 dengan melibatkan 556,838 orang.
''Jumlah
kutipan ini telah meningkat sebanyak 29.75 peratus dari tahun
lalu," jelas beliau.
Sehubungan
itu, beliau memaklumkan, jumlah kutipan zakat harta dan fitrah
di Negeri Sembilan pada tahun lalu adalah sebanyak RM37,409,710.68.
Beliau
juga menegaskan, kaunter PZNS cawangan Seremban telah mencatatkan
kutipan zakat tertinggi dengan jumlah perolehan sebanyak RM15,711,597.94
tahun lalu.
Kata
beliau, antara faktor penyumbang terhadap peningkatan kutipan
berkenaan adalah gerakan dakwah yang telah dijalankan secara
menyeluruh melalui bengkel, perbincangan dengan majikan, edaran
risalah, pameran, kaunter bergerak selain peringatan melalui
khutbah Jumaat.
''PZNS
juga telah memperkenalkan Skim Pembayaran Zakat Melalui Potongan
Gaji (SPZPG), perbankan internet, bayaran di kaunter bank
yang dilantik, kaunter Pejabat Pos selain menggunakan khidmat
amil di masjid," kata beliau.
Lain-Lain Arkib Berita |