MAINS BERTARAF EMPAT BINTANG |

02 September 2009, Kuala Pilah - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menerima pengiktirafan bertaraf empat bintang daripada Jabatan Audit Negara kerana pengurusan kewangan yang cekap bagi tahun 2008.
Pengerusi MAINS, Dato' Seri Utama Hj. Mohamad Hj. Hasan berkata, dengan pengiktirafan itu ia menjadikan MAINS, satu-satunya majlis agama Islam negeri di negara ini yang mendapat pengiktirafan yang cemerlang itu.
''Pengiktirafan itu diberikan berikutan kejayaan mengurus kewangan, khususnya wang zakat dengan baik dan telus kepada lapan asnaf yang layak," katanya. Beliau berucap pada majlis penyampaian bantuan ramadan kepada fakir miskin di Seri Menanti, Kuala Pilah.
Mohamad yang juga Menteri Besar memberitahu, ketelusan dalam menguruskan wang zakat oleh MAINS ini dibuktikan melalui kejayaan pengagihan sebanyak RM37 juta perolehan zakat pada tahun 2008 lalu.
''Jumlah berkenaan termasuklah RM 3.6 juta wang zakat fitrah. Kita telah salurkan kepada asnaf yang layak.”
Pada tahun lalu sahaja lebih 5,000 penerima zakat memperoleh bantuan bulanan daripada Baitulmal dan ia telah diuruskan tadbir dengan baik melalui jumlah yang dikeluarkan sebanyak RM12.5 juta.
''Kita juga telah salurkan wang zakat bagi membantu penuntut ilmu melanjutkan pelajaran mereka di dalam dan luar negara” jelas beliau
Sementara itu pada majlis tersebut Tabung Haji turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM140,000 untuk disampaikan kepada fakir miskin di Kuala Pilah.
Turut hadir ADUN Seri Menanti, Dato' Abd. Samad Ibrahim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Dato' Hasan Malek dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tabung Haji (TH), Datuk Ismee Ismail.
Lain-Lain Arkib Berita
|