PENYAMPAIAN BANTUAN ZAKAT DI LABU |

LABU - Menteri Besar, Dato' Seri Utama Hj. Mohamad Hj. Hasan berhasrat meningkatkan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat dalam usaha memperkukuh sumber ekonomi masyarakat Islam terutama dalam bidang perniagaan dan peruncitan.
Katanya, sudah tiba masanya ekonomi umat Islam di negeri ini dijana sepenuhnya supaya ia dapat memperkukuhkan putaran ekonomi masyarakat itu sendiri. Tempat yang paling sesuai adalah masjid. Oleh itu, idea untuk meningkatkan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat diutarakan.
“Secara tidak langsung, ia mampu memperkukuhkan ekonomi Islam termasuk pelajaran dan pentadbiran. Semua itu boleh ditadbirkan melalui masjid,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Tahunan Masjid dan Bantuan Ramadan kepada Fakir Miskin DUN Labu, di Dewan Dato’ Shahardin Batu 8, dekat sini, kelmarin.
Seramai 148 peserta menerima bantuan Ramadan Fakir Miskin daripada Kerajaan Negeri membabitkan jumlah RM 28,600 manakala lima buah masjid peringkat DUN Labu turut menerima sumbangan pada majlis tersebut.
Mohamad berkata, umat Islam perlu memikirkan usaha untuk menubuhkan koperasi masjid dan tidak terlalu bergantung kepada institusi bukan Islam.
Lain-Lain Arkib Berita
|