150 ASNAF FAKIR MISKIN TERIMA ZAKAT BULANAN |

SIMPANG GELAMI - Seramai 150 asnaf fakir miskin di sekitar Klawang tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu dan gembira mereka apaila menerima bantuan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam bentuk pembayaran zakat secara bulanan.
Wakil pengurus Baitulmal (MAINS) merangkap Pegawai Baitulmal Negeri Sembilan, Zainal Said berkata, program pembayaran zakat yang dibuat secara terus oleh MAINS itu bagi memberi ruang kepada kedua-dua pihak iaitu MAINS dan penerima berinteraksi secara terus.
Menurutnya, walaupun program pembayaran zakat secara terus kepada penerima itu dibuat secara berkala, namun pengisian utamanya program seumpama itu bagi memastikan penerima memahami tujuan pemberian zakat dibuat melalui majlis ilmu yang diadakan sebelum pembayaran zakat diberikan kepada mereka.
“Kita harap dengan adanya majlis ilmu seperti ini, ia sedikit sebanyak akan membantu meningkatkan kefahamaan penerima zakat yang tergolong dalam asnaf fakir miskin terutamanya dalam hal-hal berkaitan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam.
“Selain itu, pemberian zakat melalui MAINS ini juga meliputi pemberian kepada pihak-pihak masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam supaya usaha-usaha bagi melaksanakan majlis ilmu dapat digalakkan lagi dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Fakir Miskin Daerah Jelebu di Masjid Kariah Sungai Relai. Zainal berkata, penerima bantuan zakat juga bakal mendengar perkhabaran gembira tidak lama lagi apabila kajian mengenai penentuan kadar zakat yang bersesuaian dengan keadaan hidup penerima selesai dijalankan.
Lain-Lain Arkib Berita
|