ASNAF DITERAP PENGISIAN KEROHANIAN
|

KOTA - Pengisian kerohanian dilihat begitu penting bagi menerapkan nilai-nilai positif dalam diri. Sehubungan itu, Pejabat Agama Islam dengan kerjasama Baitulmal dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, menganjurkan Program Rintihan Harapan Bersama Asnaf Zakat yang disertai 57 penerima asnaf.
Pegawai Agama Islam Daerah, Nor Azamir Alias berkata, kemiskinan hidup yang dilalui merupakan dugaan dan cabaran yang diberikan oleh Maha Pencipta dalam menguji manusia sebagai hambaNya. Menurutnya sebagai manusia, golongan asnaf tidak seharusnya menjadikan kemiskinan untuk sering merasa rendah diri, dan kurang keyakinan menghadapi kehidupan seharian.
’’Pendekatan yang diambil ini antara lain bertujuan memberikan semangat, di samping saling mengingatkan golongan asnaf agar tidak menganggap kemiskinan satu titik noktah melupakan terus kepada Maha Pencipta. ’’Melalui sesi ceramah yang diadakan, golongan asnaf ini diberikan motivasi untuk mereka beriltizam meningkatkan kehidupan ke arah yang lebih baik,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan program tersebut di Masjid Kariah Kampung Semerbok semalam. Hadir sama, Pegawai Zakat Negeri, Zainal Said, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merangkap nazir masjid, Md Shah Joned.
Azamir berkata, program ini juga membina keyakinan diri kepada golongan asnaf untuk menempuh kehidupan yang penuh ranjau. Penyampaian sagu hati berupa barangan makanan kepada 57 asnaf terdiri daripada kariah Kampung Semerbok dan Astana Raja turut diadakan pada majlis itu.
Lain-Lain
Arkib Berita
|